



Putrajaya, 11 Disember – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark untuk menjalinkan kerjasama dan bertukar kepakaran bagi memperkasakan keupayaan Suruhanjaya ini.
SEDIA BERKONGSI FALSAFAH
Ombudsman Parlimen Denmark iaitu Christian Britten Lundblad berkata, beliau dan pegawainya sedia berkongsi falsafah dan idea di sebalik konsep ombudsman di seluruh dunia.
Beliau yang juga Presiden Mahkamah Frederiksberg, Denmark berkata, Ombudsman mempunyai kuasa untuk membuka siasatan terhadap kes-kes rasuah serta siasatan umum terhadap isu tadbir urus.
Untuk rekod, Denmark tidak mempunyai entiti khusus dalam penyiasatan dan pencegahan rasuah, Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark antara entiti yang mempunyai bidang kuasa dalam hal ehwal berkaitan isu rasuah, pelanggaran integriti dan tadbir urus sektor awam.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Sementara itu, Dato’ Sri Ahmad Khusairi berkata, mekanisme tadbir urus Denmark yang kukuh, rangka kerja integriti yang utuh dan peranan Pejabat Ombudsman Parlimen Denmark, boleh menjadi rujukan kepada SPRM.
“Pertemuan ini dapat memberikan penekanan dalam memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran awam.
“SPRM akan terus meningkatkan usaha pencegahan rasuah di negara ini melalui peningkatan keupayaan penguatkuasaan, pembaharuan tadbir urus dan langkah-langkah integriti sektor awam,” katanya.
Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Tuan Haji Mohd Gunawan Che Ab Aziz; Duta Denmark di Malaysia, H.E Kristine Vangkilde Berner; Pengarah Perhubungan Antarabangsa, Klav Duus Kinnerup Hede; Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Diraja Denmark, Merve Yalcin; Pegawai Kes Undang-undang, Johan Stampe Muller dan Pegawai Komunikasi dan Politik, Kedutaan Diraja Denmark, Subateeswarran Looganaden.
