

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 DIS. 2025
Kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030.
“Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MAJLIS EKONOMI DIGITAL
Sebelum itu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 di Putrajaya.
Jelas beliau mesyuarat ini bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan MADANI demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.
“Mesyuarat bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian, mempercepat pendaftaran MyDigital ID, serta memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI),” kata beliau.
Anwar berkata keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan. – JM
