






Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2025
Sebanyak 8,462 buah sekolah di seluruh negara dengan melibatkan 369,005 orang pelajar telah menyertai KIS anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat 30 November 2025.
Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa dengan pelaksanaan ini juga mesej keselamatan KIS berjaya menjangkau lebih 80 peratus sekolah di seluruh negara merangkumi sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman serta Sekolah Kurang Murid (SKM).
Pencapaian tahun ini turut merangkumi pelaksanaan program di institusi pendidikan tinggi seperti kolej, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG), melibatkan 61 program dengan penyertaan seramai 20,190 peserta.
KERJASAMA PELBAGAI PIHAK
Pencapaian KIS juga merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberikan sokongan bagi membolehkan kempen ini dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara serta peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan badan-badan lain seperti Persekutuan Pengakap Malaysia dan BAKAT yang turut membantu menyebarkan mesej kempen dengan lebih meluas dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi memastikan mesej keselamatan Internet sampai kepada masyarakat umum, KIS turut diperluas kepada komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat yang melibatkan 466 program dan 287,939 peserta.
Sebagai kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan, fokus pada tahun 2026 adalah untuk meneruskan pelaksanaan KIS di sekolah-sekolah dan IPT serta memperluas jangkauan kepada pengguna Internet yang lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa.
PENUTUPAN KARNIVAL MEGA
Sementara itu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega sempena Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia, Profesor Dr.
Mohd Izani Mohd Zain
Acara kemuncak KIS menampilkan pelbagai aktiviti utama seperti Pertandingan Peringkat Akhir Debat KIS antara Institusi Pengajian Tinggi ((PT) yang julung-julung kali diadakan, Forum “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua”, pameran keselamatan dalam talian oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Google, TikTok, Meta serta Tencent.
Turut dianjurkan ialah aktiviti interaktif di reruai yang berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 orang pengunjung. – JM
