



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
2 DIS. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara ke-7, platform tertinggi yang menyelaras dasar serta hala tuju pengurusan air negara antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.
Beliau berkata mesyuarat turut meneliti status semasa banjir yang sedang melanda beberapa negeri .
“Saya gunakan kesempatan ini bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, yang terus komited membantu rakyat yang terkesan dengan bencana ini,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
SINERGI DAN ILTIZAM
Beliau berkata hakikatnya menghadapi bencana memerlukan sinergi dan iltizam yang padu antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Justeru itu kita akan terus memperkukuh kerjasama bagi merangka penyelesaian menyeluruh, termasuk memastikan pemantauan rapi dan pelaksanaan segera projek-projek tebatan banjir,” tambah beliau.
Jelas Anwar mesyuarat juga diberikan taklimat terperinci mengenai status pengoperasian empangan serta pengurusan sumber air di seluruh negara, yang mana ini amat penting bagi memastikan semua infrastruktur berada pada tahap optimum, selamat dan berdaya tahan.
“Insya-Allah, segala keputusan yang dipersetujui hari ini akan diterjemahkan kepada tindakan segera dan proaktif demi menjaga kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” tambah beliau. – JM
