Raja Muda Perlis santuni peserta ATAM kini usahawan kek dan biskut berjaya

Oleh: Sholina Osman
12 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni usahawan gigih, Nor Shakila Don yang merupakan peserta Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di premisnya di No. 80, Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Serdang, Arau baru-baru ini.

Nor Shakila, 43 adalah sumber inspirasi kepada golongan asnaf apabila berjaya mengubah kehidupan melalui bidang keusahawanan pembuatan kek dan biskut raya.

Perniagaan beliau secara kecil-kecilan bermula pada tahun 2015 dengan menghasilkan pelbagai jenis biskut raya bermusim seperti Almond London, Cheese Tart, Almond Roca, Samperit Klasik dan Suji Brunei yang kemudianya telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

TERUS MENGORAK LANGKAH

Selepas tiga tahun, Nor Shakila terus mengorak langkah dengan memperluaskan kepakarannya dalam pembuatan pelbagai jenis kek seperti Kek Marble, Kek Coklat, Kek Cheese pelbagai rasa, Kek Sarang Semut, Kek Buah, Kek Pisang Dua Benua dan Seri Ayu Jelita.

Hasil minat yang mendalam serta semangat tidak pernah luntur, beliau mula meluaskan lagi pasaran produk yang dihasilkan.

Kini, produk kek keluaran beliau telah berjaya menembusi pasaran di tiga vendor sekitar Kangar dan Alor Setar, iaitu Mum Heritage Kangar, Mizden, dan Mum Heritage Alor Setar.

Antara produk yang menjadi pilihan utama pelanggan ialah Kek Cheese Red Velvet, Kek Marble Coklat, Kek Pisang Dua Benua dan Seri Ayu Jelita.

KESUNGGUHAN DAN SOKONGAN

Kisah kejayaan Nor Shakila membuktikan bahawa dengan ilmu, kesungguhan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk MAIPs, golongan asnaf mampu berdikari serta menjadikan bidang keusahawanan sebagai jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Sementara itu, ATAM merupakan sebuah institusi latihan dan pembangunan yang diwujudkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi memperkasa golongan asnaf melalui program latihan kemahiran, keusahawanan dan pendidikan berterusan.

Penubuhan ATAM bertujuan melahirkan golongan asnaf yang berdaya saing, berdikari dan mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dengan membina potensi diri serta kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.

Melalui pelbagai kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, institusi latihan dan sektor industri, ATAM berperanan sebagai platform transformasi sosial yang memberi peluang kedua kepada asnaf untuk mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik seiring dengan aspirasi MAIPs dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan ekonomi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *