MBN putuskan bangunkan benih kelapa, benih ikan Bawal Emas – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
7 NOV. 2025

Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) memutuskan untuk mengukuhkan hala tuju pembangunan benih kelapa, dengan sasaran mencapai Kadar Sara Diri (Self-Sufficiency Ratio – SSR) 100 peratus menjelang tahun 2035.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

“Selain itu MBN juga memutuskan pengeluaran benih ikan Bawal Emas secara domestik melalui kolaborasi bersama rakan strategik, yang akan diterajui oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi memperkasa industri akuakultur negara,” kata Mohamad dalam kenyataan media.

Mohamad telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 2 Tahun 2025 yang diadakan semalam di MARDI Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

PAKAR INDUSTRI BENIH

Jelas beliau mesyuarat ini menghimpunkan pelbagai wakil daripada kementerian, agensi kerajaan serta pakar industri benih daripada sektor swasta.

Mohamad berkata majlis ini berperanan sebagai platform utama dalam memperkukuh daya saing sektor pertanian negara melalui pembangunan dan penggunaan benih tempatan yang berkualiti, dengan sasaran pengurangan import benih sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2040.

“Penubuhan Hab Benih Negara turut menjadi antara inisiatif strategik bagi memperkasa pembangunan benih dan baka tempatan, sekali gus memastikan kestabilan bekalan serta keterjaminan makanan negara,” kata beliau.

USAHA MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) beriltizam untuk terus memperkukuh kelestarian industri benih dan baka tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada import, di samping meningkatkan keupayaan serta daya saing industri benih di pasaran antarabangsa,” kata beliau.

Mohamad berkata agenda keterjaminan benih ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kemajuan industri agromakanan negara, malah turut berperanan sebagai asas kepada pemeliharaan kedaulatan dan keselamatan makanan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *