Isteri PMX rasmi Pameran Fabrik ASEAN: Keindahan Tenunan

Wartawan JM
5 NOV. 2025

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismai merasmikan Pameran Fabrik ASEAN: Keindahan Tenunan bertempat di Jabatan Muzium Malaysia bersempena Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN tahun ini.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy; Duta Besar Filipina ke Malaysia Maria Angela A. Ponce, serta Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

“Pameran seperti ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni dan tenunan warisan ASEAN, tetapi turut menzahirkan kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian budaya,” kata Wan Azizah dalam hantaran di FB.

TEMA KEABADIAN TENUNAN

Beliau berkata pameran yang mengangkat tema “Keabadian Tenunan” ini, sedang berlangsung bermula dari 20 Oktober sehingga 31 Disember 2025 di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia.

“Pelbagai koleksi yang terdiri daripada tekstil, bahan tenunan, alat tenun tradisional, dan kostum pakaian masyarakat serantau telah ditampilkan dan disusun dalam empat segmen utama yang membawa pengunjung menelusuri warisan tekstil ASEAN, proses pembuatan kain, keindahan motif, dan cabaran mengekalkan seni tenunan dalam dunia moden,” kata beliau.

Wan Azizah mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia atas kejayaan menganjurkan Pameran Fabrik ASEAN: Keabadian Tenunan, serta kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam merealisasikannya.

“Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *