Hebat sesebuah negara juga diukur dari mutu pendidikan, sistem kesihatan – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
4 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kehebatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonominya, tetapi juga melalui mutu pendidikan dan sistem kesihatan yang unggul.

Sehubungan itu kata beliau negara yang hebat ialah negara yang berilmu, berperikemanusiaan dan penuh ihsan bagi memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, tidak tersisih daripada peluang mendapat pendidikan dan rawatan kesihatan yang berkualiti.

“Atas asas itu, kerajaan memberi tumpuan besar kepada dua teras utama dalam belanjawan negara yakni pendidikan dan kesihatan sebagai landasan utama agenda perubahan dan pembangunan Malaysia,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau berucap semasa melancarkan Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJN).

Menyentuh mengenai peranan Kolej dan Universiti IJN, kata Perdana Menteri ia melambangkan sinergi terbaik antara kepakaran pendidikan dan perubatan negara yang bakal melahirkan generasi baharu profesional kesihatan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga tinggi nilai empati dan ihsan dalam khidmat kepada rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *