



Wartawan JM
Foto: Afiq Hambali, Shahnaz Fazlie
28 OKT 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sokongan berterusan Australia terhadap Pengerusian ASEAN oleh Malaysia di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian”.
Beliau berkata sokongan ini mencerminkan komitmen Australia yang konsisten dalam memperkukuh kerjasama serantau dan menyokong agenda pembangunan inklusif yang menjadi tunjang keutuhan ASEAN.
“Sebagai Rakan Dialog pertama ASEAN, Australia terus memainkan peranan penting sebagai rakan yang setia dan proaktif dalam memperkukuh perpaduan serta kemajuan komuniti ASEAN berasaskan semangat persahabatan, saling percaya, dan kepentingan strategik bersama yang telah lama terjalin,” kata beliau dalam hantaran di FB.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN
Terdahulu beliau berucap sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Anwar berkata Australia juga merupakan Rakan Dialog pertama yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan ASEAN 2045: Our Shared Future.
Beliau juga menjelaskan sokongan ini mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju bersama yang inklusif, mampan dan berpandangan jauh, menjadikan hubungan ASEAN–Australia bukan sekadar kukuh dan bermakna, tetapi juga saling menguntungkan dalam membawa manfaat nyata kepada rakyat di seluruh rantau ini. – JM
