Malaysia, New Zealand komited muktamadkan semakan MNZFTA menjelang akhir 2025 – PMX

Wartawan JM
Foto: Afiq Hambali, Izzuddin Abd Radzak
28 OKT. 2025

Malaysia dan New Zealand kekal komited untuk memuktamadkan semakan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir 2025, di samping memperkukuh kerjasama dalam sektor halal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka juga bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

“Ia termasuk perkembangan di Myanmar dan Palestin, dengan menegaskan komitmen bersama terhadap prinsip keamanan, keadilan dan pembangunan inklusif,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Beliau berkata perbincangan mereka tertumpu kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala meliputi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian, perikanan, pembangunan industri halal, pendidikan serta tenaga boleh baharu.

Anwar berkata kedua-dua pihak turut meneliti kemajuan pelaksanaan serta rundingan beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian sedia ada, merangkumi bidang belia dan sukan, pendidikan, pertanian, keadilan jenayah, jenayah rentas sempadan, pengurusan bencana dan kastam.

“Semoga hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan New Zealand terus mekar, memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *