






Oleh: Sholina Osman
26 OKT. 2025
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menghoskan Majlis Santapan Malam Bersama Delegasi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Malaysia yang berlangsung di Restoran Nyiru Klasik, Kuala Perlis.
Turut berangkat sama ialah anakanda-anakanda puteri Baginda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis pada malam berkenaan turut dihadiri oleh lebih 40 orang delegasi WI dari seluruh negara, termasuk wakil dari negeri Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Delegasi WI Malaysia berada di Perlis selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Oktober 2025, dengan kemuncak program ialah Majlis Makan Malam 70 Tahun WI Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober 2025 di Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, Kangar yang akan disempurnakan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid. – JM
