Tiada “cover up” jika pegawai/staff seleweng duit zakat – Mohd Na’im

Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2025

Tiada sebarang usaha “cover up” akan berlaku, dan mana-mana pegawai atau staf yang terlibat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.

Beliau berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus.

“Tiada kompromi terhadap integriti. Tiada perlindungan terhadap salah laku,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan media di FB beliau malam ini.

TIDAK AKAN BERKOMPROMI

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan.

“Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada SPRM bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh,” kata beliau.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini.

CONTOH KEPADA WARGA

Jelas beliau keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.

“Pada masa yang sama, saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan,” ujar beliau.

Beliau berkata kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *