Penubuhan JPPIK di bawah MKI tanda keprihatinan Majlis Raja-Raja – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
18 OKT. 2025

Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) di bawah naungan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) disifatkan sebagai satu langkah bijaksana yang mencerminkan keprihatinan Majlis Raja-Raja dalam memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini kekal tersusun, berwibawa serta seiring dengan keperluan semasa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif tersebut memperlihatkan kesungguhan berterusan untuk memperkukuh martabat pendidikan Islam di Malaysia agar terus melahirkan generasi umat Islam yang berilmu, berakhlak mulia dan beradab tinggi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta para ahli JPPIK MKI atas komitmen padu dalam mempertingkat aspek kurikulum, pentadbiran dan pengajaran pendidikan Islam di pelbagai peringkat.

PROGRAM MAIPs PEDULI

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Padang Melangit, Beseri baru-baru ini.

Antara yang turut mengiringi Baginda ialah Pengerusi JPPIK MKI Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM
Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail dan Mufti Negeri Johor merangkap Ahli JPPIK MKI Datuk Yahaya Ahmad.

Program kayuhan amal ini terus menjadi platform berkesan dalam menyantuni golongan asnaf serta memperkukuh hubungan antara institusi agama dan masyarakat di akar umbi di negeri Perlis.

Usaha ini juga amat bertepatan dengan hasrat MAIPs untuk memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara cekap, berkesan dan sampai terus kepada golongan sasaran.

MASYARAKAT MENUNAIKAN ZAKAT

Pada masa sama, ia turut menggalakkan masyarakat menunaikan zakat melalui saluran rasmi demi memperkukuh keberkatan, ketelusan dan kepercayaan awam terhadap institusi agama.

Sempena kayuhan berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada tiga penerima terpilih.

Antara asnaf yang menerima sumbangan pada edisi kali ini ialah Ismail Mahmud, 72, dari Kampung Beseri, serta Mat Isa Ab Rahman, 64, dan Hairin Noranwar Hamid, 46, masing-masing dari Kampung Belukar.

AKTIVITI ALL-TERRAIN

Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa menyantuni ahli-ahli Persatuan Penduduk Kampung Belukar yang terlibat dalam aktiviti rekreasi All-Terrain Vehicle (ATV) serta program penanaman pokok yang dijalankan bagi memupuk semangat kebersamaan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.

Dalam perkembangan lain Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap hormat oleh Alimuddin dan Mohd Ajib.

Berkenan berangkat Raja Muda dan Raja Puan Muda di Kangar pada sebelah malamnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *