
Wartawan JM
11 OKT. 2025
Kisah perjuangan seorang pelajar yatim dari Pasir Mas, Kelantan, yang tular baru-baru ini akhirnya berakhir dengan berita gembira apabila beliau kini rasmi bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan
Ahmad Danial Fitri, 19, yang kehilangan ayah sejak tujuh tahun lalu dan dibesarkan oleh ibu tunggal yang menghidap penyakit kronik, sebelum ini berdepan kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran pengajian berjumlah RM2,035 bagi program Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu di UniMAP.
Berikutan tularnya kisah beliau di media sosial melalui hantaran aktivis kebajikan Raja Shamri, UniMAP segera tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan Fitri tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pelajaran.
UNIVERSITI AMAT PRIHATIN
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata universiti amat prihatin terhadap nasib pelajar seperti Fitri dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masa depan pendidikan anak muda negara.
“Fitri kini telah berjaya mendaftar di UniMAP hasil bantuan segera yang disalurkan oleh pihak universiti melalui Dermasiswa B40 TVET.
Melalui bantuan ini, Fitri akan diberi wang saku setiap bulan berjumlah RM800 dan pengecualian yuran pengajian.
Semoga bantuan ini dapat melancarkan urusan pengajian Fitri di UniMAP seterusnya dapat membantu keluarganya apabila berjaya nanti,” kata beliau.
SEIRING DENGAN HASRAT
Tambah beliau, inisiatif seperti ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan melalui Belanjawan 2026 yang menekankan pemberian pendidikan percuma kepada pelajar IPTA daripada keluarga berpendapatan rendah, serta memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan saksama.
“UniMAP komited untuk mendukung dasar ini dengan memastikan setiap pelajar yang layak tidak terpinggir daripada peluang menimba ilmu,” katanya.
Fitri, anak sulung daripada empat beradik itu yang ditemui selepas sesi pendaftaran pelajar baharu, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban keluarganya.
KERANA SANGGUP MEMBANTU
“Saya juga ingin berterima kasih kepada sepupu dan keluarga kerana sanggup membantu saya untuk datang ke Perlis bagi mendaftar ke UniMAP pada hari ini.
Saya juga tidak pernah berjauhan dengan keluarga dan berazam memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk membanggakan ibu dan membela nasib keluarga.
Terima kasih kepada UniMAP dan semua yang membantu saya,” katanya yang menaiki bas ke rumah sepupu di Pulau Pinang pada Khamis lalu sebelum ke Perlis pada pagi ini
UniMAP pada hari ini menerima lebih 600 pelajar baharu sempena Minggu Suai Kenal Rayuan Sesi Akademik 2025/2026. – JM
