





Oleh: Sholina Osman
10 OKT. 2025
Seramai 300 peserta yang terdiri dari para ilmuwan, pensyarah, mahasiswa dan masyarakat awam menghadiri Seminar Pemikiran al-Qaradawi 2025 di Dewan Warisan Kangar hari ini.
Seminar sehari ini dianjurkan oleh
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Objektif utama seminar bagi membincangkan warisan keilmuan dan sumbangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bidang fiqh, maqasid syariah dan pembaharuan pemikiran Islam.
Mufti Perlis Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSIRAJ menyampailan ucaptama bertajuk ‘Ketokohan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai Mujaddid.
KETEGASAN PRINSIP ISLAM
Dalam kupasan itu beliau menyifatkan Syeikh al-Qaradawi merupakan tokoh yang menggabungkan ketegasan prinsip Islam dengan pendekatan yang berasaskan hikmah dan keilmuan.
Bagi beliau Dr Yusuf al-Qaradawi bukan sahaja kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya.
“Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab,” katanya.
Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fekah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.
DARI BERBAGAI TOHMAHAN
Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan termasuk pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi.
Tuduhan itu datang dari berbagai, samada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud.
Para panel penyampai lain di seminar berkenaan termasuk Rektor UniSIRAJ Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fiqh al-Taysir di sisi al-Qaradawi’.
Manakala Profesor Adjung Fakulti Muamalat & Kewangan Islam UniSIRAJ, Dr. Zaharuddin Abd Rahman pula membincangkan tajuk ‘Pendekatan Maqasid di sisi al-Qaradawi’.
KERANGKA PEMIKIRAN AL-QARADAWI
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr. Sufian Che Abdullah pula bertajuk ‘Fiqh al-Aulawiyyat dalam Kerangka Pemikiran al-Qaradawi’.
Pada majlis yang sama juga turut dilancarkan Perlis International Sunnah Convention 2026 (PISC 2026) yang bakal diadakan dari 30 Januari hingga 1 Februari 2026.
PISC 2026 Siri Ketiga anjuran Jabatan Mufti Negeri
Perlis dengan penajaan utama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
(MAIPs) ini akan diadakan di Dewan 2020, Kangar dengan tema “The Sunnah: Source of Knowledge.”
Tema ini menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kefahaman terhadap sumber
ilmu yang berasaskan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan sejagat.
TOKOH-TOKOH ILMUAN
Konvensyen ini bakal menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan dan penceramah ternama dari dalam serta luar negara melalui pelbagai sesi wacana dan perkongsian ilmu berteraskan pendekatan ilmiah, hikmah dan kesederhanaan.
Selain sesi utama, program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk menyertai sesi “Meet & Greet” bersama para penceramah sebagai wadah interaksi santai antara ulama, pendakwah dan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai konvensyen ini, orang ramai boleh mengikuti laman FB Jabatan Mufti Negeri Perlis. – JM
