
Petikan dari FB Anwar Ibrahim
4 OKT. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan ramai di kalangan kita telah mengikuti perkembangan terbaru mengenai respon dari pihak Hamas terhadap cadangan ke arah gencatan senjata.
Ia tentunya perkembangan yang sangat mustahak tatkala ia pastinya akan menjamin serta membuka ruang untuk menghentikan perang dan pembantaian.
“Saya yakin ia akan memberi sedikit kelegaan buat warga Gaza pada ketika ini,” kata beliau.
ISRAEL MENGHENTIKAN SERANGAN
Saya juga maklum akan kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, khusus pada seruannya agar Israel menghentikan serangan dan pengeboman supaya langkah yang kukuh dan teguh ke arah perdamaian dapat digerak dan dijelmakan.
Justeru, aspek dan dimensi yang terpenting saat ini adalah kebijaksanaan dan sikap kesabaran yang tinggi terutamanya untuk menghentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Sementalahan, keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata. Walhasil, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah, dan kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza.
MENGHENTAK NURANI DUNIA
Tragedi sadis yang telah menghentak nurani dunia ini mesti segera dihentikan.
Negara-negara Arab, terutamanya Qatar bersama Turkiye dan dunia Islam khususnya, kini menggalas peranan yang penting dalam memastikan proses gencatan senjata ini berterusan, lantas menghidupkan kembali prospek ke arah penyelesaian politik.
Amerika Syarikat juga memikul tanggungjawab yang besar, khususnya dalam memberi tekanan kepada Israel untuk tunduk dan hormati kewajibannya serta mesti memberi ruang dan peluang kepada diplomasi.
DENGAN SIDANG KEMUNCAK
Pada akhir bulan ini, saya akan menyambut kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur bersempena dengan Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS.
Saya menanti serta mengharapkan suatu ruang dialog dan wacana yang segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia, bersama rakan-rakan, dapat menyumbang serta membentuk satu order dunia yang adil dan damai yang berkekalan yang tentunya akan mencakup serta menjamin hak rakyat Palestin dan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah. – JM
