

Oleh: Sholina Osman
22 SEPT. 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 hingga 7 Oktober 2025.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.
“Ia seiring dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk rakyat bermula pada 30 September ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Saifuddin berkata purata penggantian MyKad pada dua bulan terkini iaitu permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.
PENUKARAN CIP MYKAD
Oleh yang demikian, kata beliau penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 sehingga 7 Oktober 2025 ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.
“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95
dengan lancar,” kata beliau.
Mengikut rekod JPN, kata Saifuddin bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, JPN telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak.
“Trend permohonan ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan – sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos,” tambah beliau.
Manakala bagi bulan September, kata beliau sehingga 21 haribulan sahaja, JPN telah menerima sebanyak 22,858 permohonan. – JM
