






Wartawan JM
17 SEPT. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh kerjasama antarabangsanya melalui pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Trisakti (USAKTI) di Jakarta, Indonesia bagi memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dunia akademik.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata hubungan antara kedua-dua universiti itu bermula sejak 2020 dan telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2021 sebagai tanda persahabatan rasmi.
“Pembaharuan MoA ini menandakan satu komitmen baharu untuk memperkasakan lagi kerjasama sedia ada dan membuka jalan antaranya kepada pengukuhan kerjasama prasiswazah dan pascasiswazah melalui pertukaran staf akademik, mobiliti pelajar serta projek penyelidikan bersama.
MERANGSANG IDEA BAHARU
“Selain itu, ia juga membuka peluang untuk penganjuran seminar, simposium dan forum antarabangsa untuk merangsang idea baharu dan menonjolkan kepakaran kedua-dua universiti,” katanya berucap pada lawatan ke USAKTI di sini hari ini.
MoA itu ditandatangani Ketua Yayasan USAKTI Prof Ainun Na’im dan Zaliman dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor UniMAP.
Turut berangkat pada program sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025 itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Zaliman berkata untuk meningkatkan pengalaman akademik dan prospek kerjaya pelajar, UniMAP turut menawarkan Program Ijazah Dua dan Ijazah Bersama antara UniMAP dan USAKTI.
MEMPUNYAI TUJUH FAKULTI
Beliau berkata UniMAP kini mempunyai tujuh fakulti iaitu Kejuruteraan Elektronik, Elektrik, Mekanikal, Kimia, Awam, serta Perniagaan dan Komunikasi dan terbaharu Fakulti Komputeran Cerdas.
“Fokus utama universiti adalah dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam Elektrik dan Elektronik selaras dengan keperluan industri semasa,” katanya.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah baginda amat menekankan kepentingan membina jaringan antarabangsa demi memperluas horizon mahasiswa UniMAP.
“Saya ingin melihat lebih ramai pelajar UniMAP menimba ilmu dan pengalaman di Indonesia, khususnya di USAKTI sambil kita juga menyambut baik kehadiran mahasiswa dari Trisakti untuk mendalami bidang kejuruteraan, teknologi dan inovasi di Perlis,” titah baginda. – JM
