Pembentangan RMK13 cukup penting bagi melakar semula pembangunan negara – KPKM

Wartawan JM
1 OGOS 2025

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Ekonomi atas penghasilan dan pembentangan dokumen
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang cukup penting untuk melakar semula pembangunan negara khusus bagi tempoh 2026 hingga 2030.

KPKM menyambut baik dokumen RMK13 yang telah dipetakan kepada tiga teras utama Ekonomi MADANI, iaitu Memperkukuh Tatakelola Baik, Menaikkan Siling dan Menaikkan Lantai serta meletakkan matlamat pembangunan sosioekonomi melalui 3 Dimensi iaitu Berpendapatan Tinggi dan Mampan, Kehidupan Bermutu dan Terangkum, serta Alam Sekitar Lestari. Kerangka RMK13 juga disusun mengikut 4 Tonggak.

“Tonggak A bagi Meningkatkan Kerencaman Ekonomi; Tonggak B : Meningkatkan Mobiliti Sosial;
Tonggak C : Mempercepat Pelaksanaan Agenda Reformasi
Perkhidmatan Awam; Tonggak D : Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar,” kata kenyataan media KPKM.

KPKM juga amat menghargai tumpuan dan komitmen Kerajaan terhadap usaha pengukuhan keterjaminan makanan yang merupakan satu langkah strategik untuk memastikan daya tahan negara, terutama bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

SEDAR AKAN HAKIKAT

KPKM sedar akan hakikat ini dan sedia mempergiatkan pelaksanaan
yang telah dirangka menerusi Tonggak A, Strategi A4 RMK13 iaitu:
Strategi A4.1 – Mempertingkatkan Pengeluaran Makanan
Strategi A4.2 – Memantapkan Keterjaminan Bekalan Makanan
Strategi A4.3 – Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan

Pengeluaran agromakanan berskala besar termasuk penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, penambahbaikan sistem pengairan dan saliran, penghasilan varieti tanaman dan baka berkualiti serta penggunaan teknologi termaju
dalam meningkatkan industri perikanan tangkapan dan akuakultur menjadi iltizam KPKM dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Kesemua usaha dan strategi ini
dijangka dapat menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 1.5 peratus setahun dalam tempoh tersebut.

MENETAPKAN SASARAN TERPILIH

Selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0), RMK13 juga telah menetapkan sasaran terpilih Kadar Sara Diri (SSR) dan pertumbuhan sumbangan
nilai ditambah sektor agromakanan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan.

KPKM sepenuhnya menyokong aspirasi RMK13 yang dibentang sejajar dengan anjakan perubahan yang dihasratkan oleh Kementerian iaitu pemupukan minda baharu yang tidak hanya tertumpu kepada golongan sasar malah turut melibatkan golongan mentadbir urus dan pendekatan pemodenan yang menyeluruh merentasi sektor pertanian.

KPKM yakin gemblengan usaha semua pihak pastinya akan terus
memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat DAN 2.0 dan RMK13 menuju tahun 2030. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *