
Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 202
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], termasuk pengawalseliaan kandungan dalam talian,
selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata berhubung prosedur siasatan, MCMC telah diberi kuasa untuk menyiasat mana-mana kesalahan di bawah Akta 588 berdasarkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang diterima dari orang awam dan permohonan daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
“Bertindak atas FIR tersebut proses siasatan akan dijalankan oleh agensi penguatkuasaan di bawah peruntukan yang berkaitan kesalahan-kesalahan tertentu seperti kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta 588 sekiranya terdapat penerbitan kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau,” kata Fahmi.
Fahmi berkata demikian ketika menjawap soalan lisan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi) di Dewan Rakyat pada 29 Julai 2025.
MEMBERIKAN BANTUAN TEKNIKAL
Dalam perkara-perkara tertentu MCMC bertindak untuk memberikan bantuan teknikal kepada agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seterusnya beliau berkata pemeriksaan akan dijalankan oleh pegawai diberi kuasa MCMC sama ada dengan mendapatkan waran geledah daripada Mahkamah di bawah Seksyen 247 Akta 588 atau dengan kerjasama pihakPDRM di bawah Seksyen 248 Akta 588.
Bagi kes yang disiasat, suatu notis di bawah Seksyen 255 Akta 58 (Kuasa untuk menghendaki kehadiran orang yang tahu mengenai kes) boleh
dikeluarkan terhadap individu yang disiasat oleh MCMC.
Rakaman percakapan individu berkenaan juga akan diambil di bawah Seksyen 256 Akta 588 bagi membantu siasatan.
Sekiranya, terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan individu
berkenaan dengan kesalahan yang disiasat, peranti komunikasi milik
individu berkenaan boleh disita sama ada oleh MCMC atau PDRM
berkenaan.
BUKTI-BUKTI TEKNIKAL
Seterusnya pengujian forensik akan dijalankan bagi mendapatkan bukti-bukti teknikal berkenaan dengan kesalahan yang disiasat.
Kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan dirujuk kepada
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Jabatan Peguam Negara untuk
pertimbangan dan keputusan memulakan pendakwaan di Mahkamah atau mana-mana keputusan lain yang termaktub di dalam undang-undang.
Selain itu, tawaran kompaun juga boleh ditentukan pada peringkat ini
dengan izin yang diperoleh daripada DPP di Jabatan Peguam Negara.
Ingin ditegaskan bahawa siasatan yang dijalankan oleh MCMC adalah
berpandukan kepada tatacara dan prosedur yang ditetapkan serta
mematuhi peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 588.
Kesemua proses-proses siasatan ini dijalankan secara telus dan
menyeluruh merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan dengan seadilnya. – JM
