
Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan yang
memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti brain rot dapat dikawal dan pendedahan terhadap pengguna muda termasuk remaja dan kanak-kanak dapat dicegah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara langkah-langkah kawal selia yang telah dan sedang dilaksanakan adalah sesi libat urus yang berterusan dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.
“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan.
Dari 1 Januari 2022 sehingga 15 Julai 2025, sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berikutan permohonan MCMC,” kata Fahmi semasa menjawap soalan lisan Datuk Hajah Mumtaz Md Nawi (Tumpat), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Sembrong) dan Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor) di Dewan Rakyat pada 29 Julai 2025.
GARIS PANDUAN KOMUNITI
Fahmi berkata tindakan ini adalah berikutan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta garis panduan komuniti penyedia platform.
“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat
dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak,
keluarga dan mereka yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian,
MCMC telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia
perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi
keperluan pelesenan, untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas
Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula
Januari 2025,” kata beliau.
Beliau berkata, langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia
perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi
keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.
MENYOKONG KERANGKA PELESENAN
Selain itu, Fahmi berkata bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.
Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang
memudaratkan, termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur; menyediakan tetapan kawalan bagi ibu/bapa/penjaga yang efektif.
Selain itu katanya memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat; menyediakan fungsi dan tetapan yang mesra pengguna dan dikemas kini secara berkala untuk kekal berkesan; menjalankan audit keselamatan kandungan secara berkala; dan menyokong inisiatif pendidikan dan kesedaran keselamatan dalam talian.
MENGGUBAL AKTA KESELAMATAN
Kerajaan juga telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025
[Akta 866] bagi meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam
talian di Malaysia untuk mengawal selia kandungan memudaratkan dan
mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi bagi penyedia
pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi
kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian. MCMC sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866, di mana peraturan dan kod yang sedang dibangunkan oleh MCMC turut memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan perlindungan kanak–kanak dalam talian dan pengurusan risiko.
Seterusnya, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti penyedia
perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian
mereka, penyedia perkhidmatan hendaklah menyediakan suatu pelan
keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap
kewajipan di bawah Akta 866.
Kementerian Komunikasi melalui MCMC juga telah melancarkan
Kempen Internet Selamat (KIS) pada 21 Januari 2025 yang bertujuan
meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam
talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian, dan seterusnya mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih
selamat.
INISIATIF LIBAT URUS
Buat masa ini, kempen ini akan dilaksanakan di 10,000 sekolah,
Institusi Pengajian Tinggi serta Institut Pendidikan Guru, melalui beberapa
inisiatif libat urus dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar di
universiti awam seluruh negara.
Kempen ini juga memberi penekanan kepada fenomena Child Sexual
Abuse Material (CSAM) atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak
yang dihasilkan sendiri oleh kanak-kanak akibat pengaruh luar seperti
pengantunan seksual, serta kesan psikologi.
Setakat 28 Julai 2025, program KIS telah dilaksanakan di 559 institusi pendidikan termasuk sekolah rendah dan menengah dan institusi pengajian tinggi awam melibatkan lebih 60,000 pelajar.
Selain usaha pihak Kerajaan dan penyedia platform, adalah penting
untuk menekankan bahawa kawalan dan pemantauan penggunaan
media sosial oleh kanak-kanak turut memerlukan penglibatan aktif ibu
bapa atau penjaga.
Ibu bapa berperanan memastikan anak-anak menggunakan media sosial secara berhemah, antaranya melalui pemantauan kandungan yang diakses, menetapkan had masa
penggunaan peranti, serta mendidik anak-anak mengenai risiko
keselamatan dan perlindungan privasi dalam talian.
Usaha bersama ini adalah penting bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, sihat dan positif untuk golongan muda. – JM
