






KUALA LUMPUR, 30 JULAI | Datok Shaharudin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), telah merasmikan Bengkel Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia (2026–2030) yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) sedang merangka Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) 2026–2030 sebagai panduan strategik untuk memelihara warisan budaya negara, dengan kerjasama Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Dokumen ini akan merangkumi strategi, garis panduan dan cadangan perlindungan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, penyelidik, pengamal budaya dan komuniti tempatan.
Malaysia telah mencatat kejayaan di peringkat UNESCO dengan lapan elemen tersenarai dalam Representative List dan satu dalam Urgent Safeguarding List, selain 517 butiran diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.
Pelan ini penting untuk memastikan kelangsungan WTK, memperkukuh identiti budaya negara serta meningkatkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam usaha pemeliharaan warisan budaya tidak ketara.
MOTAC komited untuk memastikan seni budaya dan warisan negara terus dipelihara dan diiktiraf sebagai khazanah budaya negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
