







Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
28 JUN 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini (28 Jun).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris.
Istiadat perbarisan pentauliahan ini merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada Pegawai Kadet ATM yang telah menamatkan latihan ketenteraan masing-masing dengan jayanya, sekali gus menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Pegawai Muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
PEMERINTAH TERTINGGI ATM
Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi ATM berkenan memeriksa perbarisan pegawai-pegawai kadet diiringi Panglima Angkatan Tentera dan Pegawai Perbarisan.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada tujuh pegawai kadet terbaik Akademi Latihan Ketenteraan didahului Pegawai Rendah Kanan Batalion Muhamad Amir Akhtar Saiful Azmi, Pegawai Kadet terbaik keseluruhan dan Pegawai Rendah Kanan Adam Daniel Suhaily, Pegawai Kadet terbaik Tentera Darat.
Selain itu, Pegawai Kadet Kompeni Sarjan Mejar Azrul Naiem Shah Amer, Pegawai Kadet terbaik Tentera laut; Pegawai Rendah Kanan Fazril Azim Shaharuddin, Pegawai Kadet terbaik Tentera Udara; Pegawai Rendah Muda Mohamad Syahmezan Amat, Pegawai Kadet terbaik Akademi Tentera Darat; Pegawai Kadet Kanan Ayman Saharuddin, Pegawai Kadet terbaik Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Pegawai Rendah Kanan Muhamad Shahrul Amran, Pegawai Kadet terbaik Kolej Tentera Udara. – JM
