PMX lawat Republik Indonesia pada 27 Jun 2025

Wartawan JM
26 JUN 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia pada 27 Jun 2025.

Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan lawatan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang sedia rapat dan telah lama terjalin, khususnya di peringkat tertinggi kepimpinan.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri; Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Lawatan ini juga merupakan manifestasi balas ke atas lawatan-lawatan oleh Presiden Prabowo Subianto ke Malaysia pada tahun ini dalam konteks hubungan dua hala serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei 2025.

PERTEMUAN EMPAT MATA

Semasa lawatan ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Prabowo Subianto.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Republik Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

RAKAN DAGANG KEENAM

Pada tahun 2024, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.

Berbanding RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada tahun 2023, dagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (USD25.5 bilion) pada tahun 2024.

Sebagai negara tetangga serumpun yang terdekat dan berkongsi hubungan sejarah serta sebagai negara pengasas ASEAN, lawatan rasmi ini menzahirkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ASEAN secara keseluruhan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *