Raja, Raja Perempuan Perlis hadir Majlis Makan Malam Apresiasi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan

Oleh: Sholina Osman
25 JUN 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020 Kangar, malam tadi (24 Jun).

Berangkat sama ke majlis bertemakan ‘Gold And Glitter’ tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam ucapan aluan beliau, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli memaklumkan bahawa majlis tersebut dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai penglibatan semua pihak dalam penganjuran Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April 2025 yang lalu dengan jayanya sekali.

Majlis bermula dengan bacaan Ungkap Kata “Puji Raja” oleh Mohd Nazim Mohd Noor dan Hakim Khan disusuli dengan tarian pembukaan ‘Tingkah Mandini Samrah’ oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis dan kemudiannya Persembahan Pembukaan Lagu “Daulat Tuanku” oleh artis tanahair dari Perlis, Khai Bahar.

MENYAMPAIKAN SIJIL PENGHARGAAN

Mohd Shukri menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak.

Raja Perlis juga berkenan mengurniakan sijil penghargaan khas kepada 10 orang penerima terpilih di akhir majlis penuh bermakna tersebut terdiri daripada :-

  1. Penulis lirik Lagu tema jubli perak – Daulat Tuanku & Naungan Tuanku: Mohd Nazim Mohd Noor.
  2. Penulis lirik lagu Daulat Tuanku: Yaakob Abd Aziz.
  3. Penulis lirik lagu Daulat Tuanku: Sharif Shaary.
  4. Penyanyi Lagu tema Jubli Perak – Daulat Tuanku: Muhammad Khairul Baharuddin.
  5. Pereka logo rasmi: Setiausaha Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Mohd Nazim Mohd Noor.
  6. Pereka bentuk dan pembuat skrol persilaan: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia Dititah / Pengurus Stesen FRIM Perlis, Noor Shahirah Zulkifli.
  7. Pereka motif lakaran bunga harumanis dan bunga padi: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia /Pengarah Kraftangan Perlis, Mohd Shahrir Mohamad Ramli.
  8. Pencipta nama Kompleks Seri Putra: Amir Budiman Abdullah

Dua penerima sijil penghargaan khas yang tidak dapat hadir adalah

  1. Pencipta lagu tema Jubli Perak – Daulat Tuanku & Naungan Tuanku: Datuk Mokhzani Ismail.
  2. Penyanyi Lagu tema Jubli Perak – Naungan Tuanku: Azuan Othman.

Di majlis yang sama Khai Bahar menyanyikan lagu “Selamat Menyambut Hari Keputeraan” dan menuju ke arah Raja Perempuan Perlis diiringi oleh lima ‘flower girls’ bagi mempersembahkan belon dan bunga kepada Baginda.

Hari keputeraan Tuanku Tengku Fauziah yang ke-79 jatuh pada 6 Jun lalu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *