


Wartawan JM
25 JUN 2025
Kejayaan Rancangan Malaysia Ke-13 ( RMK-13) bergantung kepada penyelarasan yang kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian untuk melaksanakannya secara berimpak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai sebuah kesatuan pasukan negara.
“RMK-13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan MADANI sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat, serta membina negara yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran di FB.
MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT KHAS
Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK-13.
Perdana Menteri berkata, menerusi mesyuarat ini beliau memberikan ruang seluasnya kepada barisan menteri dan pengurusan kementerian untuk menyumbang idea, cadangan dan mempertajam pelaksanaan.
Beliau berkata, ianya bagi memastikan setiap jentera kerajaan memahami peranan dalam melaksanakan dasar yang berpijak pada realiti dan tuntutan masa depan. – JM
