






Wartawan JM
24 JUN 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri kepada 185 penerima sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat di Istana Arau, pada Isnin dan Khamis ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam kenyataan media memaklumkan, seorang penerima dianugerahkan Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) manakala Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) dianugerahkan kepada 23 individu pada istiadat penganugerahan yang dilaksanakan secara dua sesi itu di istana berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 20 penerima dianugerahkan Pingat Mahkota Perlis (PMP) dan 60 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala 69 lagi dianugerahkan Pingat Jasa Baik (PJB).
Tambahnya, 11 lagi penerima akan dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) dan seorang penerima akan dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT).
PENGAMAL MEDIA IAITU
Sementara itu pengamal media iaitu jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Harry Salzman Abu Bakar dan Ketua Bahagian Rancangan RTM Perlis, Nur Suriawaty Abdul Nasir dianugerahkan PJK.
Tiga selebriti tanah air yang merupakan anak jati Perlis iaitu pelakon Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, Nur Fasha Sandha Hassan dan Ezany Nizariff atau nama sebenarnya Dr Mohd Zani @ Mohd Zohiri Mohd Nizariff dianugerahkan PJB.
Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri Perlis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran dan pingat dan berharap penganugerahan itu menjadi pemangkin kecemerlangan berterusan dalam memartabatkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negeri khususnya. – JM
