Petani mesti bijak, ambil usaha tingkatkan hasil tanaman

Rambutan antara buah tempatan yang digemari oleh rakyat Malaysia. Boleh ditanam secara meluas oleh petani untuk menambahkan pendapatan. Foto hasilan dari kebun penulis.

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

20 Jun 2025

Perluasan cukai SST bermula 1 Julai ini yang antaranya memasukkan buah-buahan import dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, ia sebenarnya adalah rahmat kepada petani-petani domestik.

Ia secara langsung akan menyebabkan rakyat lebih memilih buah-buahan tempatan yang tidak dikenakan sebarang cukai sebagai makanan harian mereka berbanding buah-buahan import yang lebih mahal harganya.

Selain itu, dengan cukai yang dikenakan keatas buah-buahan import juga adalah rangsangan kepada petani tempatan untuk lebih berusaha meningkatkan hasil pengeluaran dan menambah keluasan ladang pertanian.

PASARAN BUAH TEMPATAN DAPAT PERHATIAN

Pasaran untuk buah-buahan tempatan dengan sendirinya lebih mendapat perhatian.

Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri pula sekarang mengarahkan semua jabatan kerajaan agar hanya menghidangkan buah-buahan tempatan dalam majlis yang mereka adakan.

Langkah yang diambil Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semata-mata bertujuan untuk menyokong hasil petani domestik susulan peluasan skop cukai SST yang berkuatkuasa 1 Julai depan.

Menurut Perdana Menteri, arahan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) itu perlu dipatuhi semua pihak dalam sektor perkhidmatan awam.

“Makanlah buah tempatan, perbendaharaan dah bagi arahan ya, ‘no imported fruit’ ya.

“Jadi, kalau seluruh jabatan kerajaan (ikut arahan), maknanya peluang petani mengeluarkan bahan-bahan tempatan itu lebih banyak,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya baru-baru ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, amalan seperti itu telah menjadi kebiasaan di beberapa negara jiran yang dilawatinya seperti Vietnam, Laos dan Thailand di mana makanan tempatan disediakan buat tetamu negara dalam acara rasmi kerajaan negara berkenaan.

“Ini kadang-kadang saya tengok dulu di Seri Perdana, (hidang) ikan kod, ish saya kata tak payahlah…bagi ikan keli pun tak apa, sesetengah orang dengan ikan keli dia geli. Saya suka ikan keli,” selorohnya.

RAKYAT HARUS SAMBUT BAIK USAHA KERAJAAN MADANI

Mudah kata, kita sebagai rakyat harus menyambut baik langkah Kerajaan Madani mengenakan cukai jualan lima peratus kepada buah-buahan import itu.

Selain mampu menambah hasil negara, rakyat dan petani tempatan lebih mendapat manfaat daripadanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *