






Oleh: Sholina Osman
22 JUN 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat menghadiri Perarakan Budaya Gawai Dayak 2025 yang berlangsung meriah di Tebingan Sungai Sarawak, Kuching.
Turut mengiringi Baginda berdua ialah anakanda putera dan puteri, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang mengetuai perarakan sebagai lambang komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara serta meraikan warisan pelbagai etnik dan memperkukuh semangat perpaduan rakyat berbilang kaum.
HADIR MEMERIAHKAN ACARA
Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2025, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bersama barisan pemimpin kanan negeri.
Acara tahunan ini disemarakkan dengan panorama budaya yang memukau apabila sebanyak 91 kontinjen melibatkan seramai 2,730 peserta berarak sejauh 1.2 kilometer dari Bangunan Tun Jugah ke Pentas Utama Tebingan Kuching.
Para peserta mempersembahkan keindahan busana tradisional, alunan muzik etnik, serta tarian warisan masyarakat Dayak dalam suasana yang penuh meriah dan berwarna-warni.
PERAGAAN WARISAN BUDAYA
Perarakan Gawai Dayak 2025 bukan sekadar peragaan warisan budaya, malah menjadi simbol penyatuan dan kekuatan jati diri rakyat Sarawak yang hidup harmoni dalam kepelbagaian.
Edisi kali ini turut memberikan tumpuan khas kepada komuniti Orang Ulu yang memukau penonton dengan persembahan alat muzik tradisional seperti sape, oguong, dan kitaak, melambangkan kekayaan seni dan budaya Bumi Kenyalang.
Sumbangan kebudayaan daripada kaum Iban dan Bidayuh menyemarakkan lagi kepelbagaian yang ditampilkan, manakala penyertaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak serta delegasi Dayak dari Kalimantan, Indonesia, menyerlahkan jalinan budaya serantau Nusantara.
ETNIK ORANG ULU
Menariknya, buat pertama kali, sebanyak 12 buah kenderaan berhias dipertandingkan mengikut kategori etnik Orang Ulu, Iban dan Bidayuh, dengan tawaran hadiah wang tunai RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi tempat pertama hingga ketiga, serta saguhati RM1,000 bagi kontinjen paling kreatif.
Acara melabuhkan tirainya dalam sorakan gemuruh ribuan penonton, namun gema sape dan laungan “Gayu Guru Gerai Nyamai” terus bergema menandakan semangat yang tidak pernah luntur dalam mempertahankan tradisi sambil melangkah gagah ke masa hadapan. – JM
