SKAW Ke-37: Raja Muda Perlis tamatkan lawatan kerja di Kota Kinabalu

Oleh: Sholina Osman
21 JUN 2025

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, telah menamatkan lawatan kerja selama tiga hari di Kota Kinabalu sempena Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke-37 Tahun 2025.

Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Markas Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta putera baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Selain menghadiri persidangan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi SKAW Siri Ke-37/2025 yang diadakan di The Magellan Sutera Harbour Resort, turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga merupakan Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sabah.

MAJLIS SANTAPAN MALAM

Baginda turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Sutera Harbour Jetty pada malam pertama tiba, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara para pegawai serta anggota yang terlibat dalam SKAW edisi tahun ini.

Antara pengisian sampingan lain untuk SKAW kali ini, Baginda bersama-sama ahli delegasi yang lain turut dibawa melawat Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan berkesempatan menaiki Keretapi Warisan Borneo Utara, atau lebih dikenali sebagai ‘North Borneo Heritage Train’, iaitu sebuah perkhidmatan kereta api warisan nostalgik yang beroperasi antara Stesen Tanjung Aru dan Papar.

Pengalaman perjalanan singkat ke Kinarut ini memperlihatkan keindahan suasana kampung tradisional Sabah, termasuk pemandangan tepi pantai, sungai dan perkampungan asli.

LOKASI TUMPUAN UTAMA

Dalam usaha meninjau potensi pelancongan negeri, Tuanku Raja Muda turut meluangkan masa untuk singgah melawat beberapa lokasi tumpuan utama seperti Pasar Kraftangan Kota Kinabalu yang telah dijenamakan semula sebagai Anjung Kinabalu, Imago Shopping Mall serta beberapa destinasi lain yang menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan mengadakan lawatan ke Mari Mari Cultural Village di Inanam, Kota Kinabalu.

Baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra, serta delegasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang terdiri daripada isteri-isteri pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang terlibat dalam penganjuran SKAW pada tahun ini.

LIMA SUKU KAUM

Mari Mari Cultural Village merupakan sebuah perkampungan budaya yang unik dan berperanan sebagai muzium hidup yang menampilkan gaya hidup serta warisan lima suku kaum utama pribumi Sabah iaitu Kadazan-Dusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.

Di sini, para pengunjung berpeluang meneroka rumah panjang tradisional setiap suku kaum, sambil menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti penyediaan makanan tradisional, permainan rakyat, seni mempertahankan diri, serta menikmati persembahan kebudayaan yang memukau.

Ia adalah destinasi yang ideal untuk menyelami keunikan, kepelbagaian, dan kekayaan budaya etnik Sabah secara autentik dan bermakna. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *