





23 MEI 2025
Tanggapan lapuk bahawa bahasa dan ekonomi berada pada jalur yang berbeza tidak lagi relevan dalam realiti dunia moden hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya, kita harus membina budaya ekonomi dalam kerangka bahasa sendiri seperti yang telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis dan Jerman lantas berjaya memajukan ekonomi tanpa mengorbankan bahasa ibunda.
“Saya tegaskan perkara ini sewaktu meluncurkan Program Hadiah Bahasa Public Bank dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025,” katanya dalam hantaran di FB.
Dalam ucapan, Perdana Menteri menyeru agar usaha memperkukuh Bahasa Melayu tidak dianggap sekadar simbol kosong, tetapi sebagai wahana sebenar kemajuan dan pembinaan tamadun.
KEPERCAYAAN SEBAGAI PENAUNG
“Program Hadiah Bahasa ini cukup bermakna buat saya secara peribadi. Seawal tahun 1984, saya diberi kepercayaan menjadi penaung Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) yang ketika itu bekerjasama dengan Public Bank dalam penganjuran edisi pertama Hadiah Bahasa,” katanya.
Beliau berkata hari ini (22 Mei 2025) selepas 27 tahun, kita menghidupkan kembali legasi berharga ini dengan nafas dan semangat baharu.
Beliau berkata, langkah berani institusi kewangan seperti Public Bank dalam mendukung perjuangan memperkasakan bahasa kebangsaan merupakan teladan unggul dan membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan jati diri bangsa bukan sahaja boleh, malah harus bergerak seiring.
“DBP pula kekal sebagai tiang seri kepada perjuangan ini bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa tamadun,” katanya. – JM
