Raja Permaisuri Agong santuni sahabat lama di Kelantan

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
22 MEI 2025

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni sahabat lama Baginda, Zaiton Hashim yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Kak Ton’ yang menetap di Kelantan.

Berangkat sama, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Persahabatan Raja Zarith Sofiah bersama Kak Ton mula terjalin akibat penyakit encephalomyelitis yang dihidapi anak perempuan Kak Ton, Allahyarhamah Samihah Suradin (Mimi) yang meninggal dunia pada tahun 2000.

TIDAK MAMPU BERNAFAS

Penyakit itu menyebabkan Mimi lumpuh dari leher ke bawah dan tidak mampu bernafas tanpa bantuan mesin pernafasan.

“Saya mendapat tahu tentang kisah Kak Ton dan Mimi melalui laman sesawang yang dibuka bagi menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Kami menjadi sahabat kerana kami berdua mempunyai anak yang umurnya sebaya, tetapi saya tersentuh kerana Arwah Mimi yang tua setahun daripada Tunku Tun Aminah terpaksa hidup bertahun-tahun lamanya dalam wad ICU.

JOHOR DAN KELANTAN

“Perbezaan antara latar belakang dan tempat tinggal antara Johor dan Kelantan tidak membataskan persahabatan kami. Pada saya, Kak Ton merupakan seorang insan istimewa yang sangat penyabar dan percaya kepada ketentuan Allah SWT, walaupun diduga dengan ujian yang begitu berat,” titah Raja Zarith Sofiah.

Persahabatan Seri Paduka Baginda bersama Zaiton terus terjalin erat hingga ke hari ini.

“Saya amat terharu apabila Seri Paduka Baginda menjemput saya untuk mengadap pada hari ini.

LAMA TIDAK BERSUA

“Walaupun sudah lama tidak bersua, kami sentiasa berhubung melalui telefon,” kata Zaiton kepada Royal Press Office pada hari ini (21 Mei).

Pertemuan itu berlangsung selepas selesai keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke acara Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kota Bahru.

Semasa pertemuan, Zaiton turut menunjukkan kepada Raja Permaisuri Agong sebuah album yang mengabadikan kenangan lawatan beliau mengadap Seri Paduka Baginda di Istana Pasir Pelangi pada tahun 1998, dan penerimaan sumbangan untuk Allahyarhamah Mimi dalam satu majlis makan malam Ikebana International. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *