Kompleks DUN Perlis dimasyurkan sebagai Kompleks Seri Putra

Oleh: Sholina Osman
20 MEI 2025

Kompleks Dewan Undangan Negeri
(DUN) telah dimasyhurkan sebagai Kompleks Seri Putra bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, pada Isnin (19 Mei 2025).

Pemilihan nama baharu ini adalah bersempena dengan nama ayahanda Baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan berangkat pada majlis pemasyhuran nama baharu bangunan itu yang diadakan serentak dengan Majlis Jamuan Teh Rakyat di pekarangan kompleks berkenaan.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Berkenan berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lallatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda sulung Bagibda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

TURUT MENZAHIRKAN PERKENAN

Tuanku Syed Sirajuddin menerusi titah yang disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sewaktu majlis berkenaan turut menzahirkan perkenan bagi pemasyhuran nama Kompleks DUN Perlis bersempena dengan nama ayahanda Baginda.

“Almarhum ayahanda beta merupakan Raja Perlis pertama di atas takhta pemerintahan semenjak penggubalan Perlembagaan Negeri iaitu Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada 1 Februari 1948 bersamaan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu,” titah Baginda.

Sehingga kini, titah Baginda, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang siap disempurnakan pada 26 Mac 1959, masih digunapakai hasil kebijaksanaan dan warisan pemerintahan Almarhum baginda.

“Di bawah pemerintahan Almarhum Baginda, DUN Perlis mulai terbentuk setelah mana Pillhan Raya Majlis Perundangan Negeri diadakan pada 24 September 1955 dengan peruntukan sembilan kerusi,” titah Baginda.

Baginda juga bertitah agar bangunan ini dapat dijadikan sebagai tempat berunding, berbahas dengan berhemah, bijaksana dan menggubal perundangan yang adil untuk kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Bangunan yang besar ini perlu digunakan sepenuhnya dan dijaga dengan sebaiknya,” titah Baginda.

Baginda bertitah, carilah jalan penyelesaian dan titik persamaan bagi mentadbir dan memajukan negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *