Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Ibu

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
11 MEI 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.

Seri Paduka Baginda turut menitipkan ucapan selamat Hari Ibu kepada Raja Permaisuri Agong.

Sultan Ibrahim bertitah, menghargai jasa dan pengorbanan seorang Ibu bukanlah amalan bermusim atau terikat pada tarikh tertentu sahaja.

“Sebagaimana dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bahawa ibu adalah insan yang mulia, diperintahkan Allah untuk berbuat baik kepadanya. Begitu juga berbakti kepada ibu kerana syurga berada dibawah kedua kakinya,” titah Seri Paduka Baginda.

BAGINDA SENTIASA BERSYUKUR

Sultan Ibrahim bertitah, Seri Paduka Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dikurniakan seorang isteri yang amat penyayang kepada anak-anak.

“Begitu besar pengorbanan serta kasih sayang dicurahkan Raja Zarith dalam membesarkan mereka.

“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *