




7 MEI 2025
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta pihak-pihak yang dilantik amat penting bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan ini dalam Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL yang berlangsung hari ini.
“Sudah tentu, pelbagai persoalan timbul tentang manfaat projek ini, maka saya tegaskan, ECRL bukan sahaja menawarkan sistem pengangkutan yang moden, canggih dan pantas, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan pertumbuhan baharu di sepanjang laluannya,” katanya dalam hantaran di FB.
KOMITMEN ANAK MUDA
Beliau berkata, projek seperti ECRL memerlukan komitmen anak muda dan belia — mereka wajar diberi pendedahan dalam aspek latihan, teori, amali, serta pengalaman operasi sebenar industri rel.
“Ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menyertai sektor rel yang semakin berkembang lantas para pelatih akan ditawarkan peluang pekerjaan bersama ECRL selepas tamat latihan sekali gus membuka laluan kerjaya yang lebih luas dan stabil dalam industri ini,” jelas Perdana Menteri lagi. – JM
