Malaysia beri komitmen perkukuh kerjasama ekonomi dua hala bersama Bahrain – PMX

6 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan delegasi Menteri Kerajaan Bahrain yang diketuai Menteri Pembangunan Mampan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain Noor Ali Sultan Hasan Alkhulaif.

Hadir sama Duta Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Yusuf Almanea pada tengah hari tadi.

“Saya telah menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala bersama Bahrain, tidak hanya sekadar sebagai rakan dagang, tetapi sebagai rakan strategik dalam mewujudkan pertumbuhan mampan dan inovatif,” katanya dalam hantaran di FB.

MEMBINA ASAS KUKUH

Anwar berkata, Malaysia dan Bahrain telah membina asas kukuh dalam hubungan dagang, dengan potensi besar untuk diperkembangkan khususnya dalam sektor petroleum, produk berasaskan aluminium, makanan halal, komponen elektronik, dan teknologi hijau.

“Malaysia juga melihat peluang yang terhampar terutamanya dalam sektor pelaburan strategik merangkumi tenaga boleh baharu, pembuatan petrokimia, penjagaan kesihatan, serta pembangunan hartanah,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, di sebalik cabaran dalam prestasi dagangan semasa, kami yakin bahawa pelbagai inisiatif seperti kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan industri halal, serta transformasi digital melalui platform MyDigital dan dasar Cloud First Bahrain mampu menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan yang berkualiti tinggi.

IDEA DAN SARANAN

Beliau berkata, Malaysia tentunya menyambut baik idea dan saranan untuk menubuhkan hab perkhidmatan global dan taman perindustrian pintar, selain meneliti rangka kerja kerjasama penyelidikan dan pembangunan industri bersama Bahrain.

“Dalam konteks yang sama, kami akan meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC sebagai satu wahana dan pendekatan strategik yang sejajar dengan wawasan serantau,” kata beliau.

Jelasnya, pertemuan ini memperkukuh iltizam bersama untuk membina masa depan yang saling memperkukuh, saling memanfaat demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan yang dipercayai dan diyakini, menjunjung prinsip ketelusan, selain bergerak sederap dalam menjamin keterangkuman dan kemajuan bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *