
5 MEI 2025
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menangguhkan lawatan rasmi ke Malaysia pada Jumaat ini (9 Mei) susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Shehbaz telah memaklumkan penangguhan ini menerusi panggilan telefon kepada beliau semalam.
Perdana Menteri memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
MENYATAKAN SOKONGAN PENUH
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan.
Katanya, hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.
TERHADAP HUBUNGAN ERAT
Perdana Menteri berkata, Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding.
“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut,” katanya.
Perdana Menteri berkata, apabila keadaan mengizinkan, Shehbaz akan disambut di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram. – JM
