



28 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping dimulakan pada tahun ini.
Selain itu, katanya, projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu juga perlu segera diserahkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri juga mengarahkan agensi-agensi supaya memperketat pemantauan projek, dan tidak teragak-agak menghukum pihak yang melengahkannya hingga menjejaskan rakyat.
HARUS BERANI BERFIKIR
“Jentera Kerajaan Persekutuan dan Negeri harus berani berfikir di luar kerangka lama untuk memecah kebuntuan, mempercepat penyelesaian masalah rakyat, dan membina benteng ekonomi yang berdaya tahan, sekali gus mengangkat martabat rakyat dan negara di persada dunia,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Sebelum itu beliau hadir ke Pejabat Pembangunan Negeri Perlis untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Persekutuan.
Mohd Shukri kemudiannya membentangkan beberapa keutamaan pembangunan negeri, meliputi infrastruktur asas seperti jalan raya, kawalan banjir, pelancongan, pelabuhan dan pendidikan.
PROJEK YANG DIBANGKITKAN
Antara projek yang dibangkitkan termasuk pembangunan pelabuhan Sanglang, pembinaan semula SK Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis, dan naik taraf kolam takungan banjir Chuping.
“Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan negara mesti membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi untuk menghadapi ketidaktentuan geopolitik, termasuk kesan dasar tarif Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, jentera kerajaan di semua peringkat perlu segera mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa lagi dibelenggu kerenah birokrasi. – JM
