





Petikan FB Anwar Ibrahim
25 APRIL 2025
Hadir meluncur inisiatif Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI pagi tadi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia merupakan satu wahana besar yang bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur bukan hanya sebagai pusat pentadbiran dan kemajuan fizikal, tetapi sebagai kota berjiwa, berbudaya, dan bersejarah.
Saya memetik pengalaman Mark Twain tatkala mengunjungi kota Washington DC, katanya: “impressive and modern buildings, but culturally barren”.
Sebuah ibu kota yang gah dari segi pembangunan fizikal, namun gersang dari segi budaya.
Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi kota yang kehilangan ruhnya.
MESTI MENGAPAI LANGIT
Pembangunan mesti menggapai langit, tetapi dalam masa yang sama, akarnya mesti tertanam kukuh pada tanah sejarah, nilai, dan peradaban.
Kita membina masa depan yang moden, namun tidak tercerai daripada pensejarahan dan nilai karamah insaniah.
Dua tahun lalu, saya telah memberi arahan kepada Khazanah Nasional untuk menerajui gagasan besar ini.
Kita bukan sekadar mahu membina gedung-gedung megah yang mencakar langit, tetapi membina kota yang punya identiti dan jati diri yang utuh. Keunikan kota tidak terletak pada gedung dan mercu perkasa semata, tetapi pada kisah, warisan, dan semangat warga yang menghuninya.
BERKEMBANG MENGIKUT TUNTUTAN
Kuala Lumpur harus berkembang mengikut tuntutan dan semangat zaman (zeitgeist), namun jangan sesekali melupakan nadi asalnya.
Dalam kalangan pengkaji sejarah, wujud satu kelompok revisionis yang cuba menafsir semula sejarah, kononnya negara ini hanya membangun hasil kehadiran, buah fikiran dan tangan penjajah. Kita tidak berkongsi pandangan kolot dan sempit seperti itu.
Justeru, kita berpandukan pada pemikiran Syed Hussein Alatas dalam usaha “reconstruction of Malaysian history” iaitu pensejarahan yang inklusif, yang mengiktiraf sumbangan setiap bangsa; dari kehadiran Yap Ah Loy yang membangun prasarana kota, masyarakat India yang menyumbang tenaga dan budaya, hingga peranan Raja Abdullah dalam pertumbuhan awal bandar ini.
Warisan bukan milik satu kaum. Ia adalah milik bersama.
WARISAN HARUS DITELITI
Oleh itu, warisan harus diteliti dan dijadikan fokus dan agenda nasional.
Stesen Keretapi Kuala Lumpur, misalnya, bukan sekadar struktur seni bina, tetapi mercu sejarah yang penting dalam melonjak perkembangan kota di peringkat awal.
Saya pernah mengusul dan mendesak agar penjajah Inggeris mengembalikan semula Carcosa Seri Negara satu ketika dahulu, dan ia harus menjadi lambang pemilikan rakyat dan warisan bangsa yang diberi nafas baharu.
Sementalahan, kita tidak boleh hanya tertumpu pada membina gedung-gedung besar dan hotel mewah tetapi gerai rakyat yang menjadi nadi kehidupan warga biasa dikesampingkan.
JAUH DARI MAKNA
Ini tersimpang jauh dari makna dan nilai negara yang madani.
Gedung-gedung sejarah mesti dibangunkan dan dipelihara agar menjadi tempat rakyat menggali sejarah dan khazanah pembangunan negara.
Warisan KL adalah sebuah iltizam untuk menyusun semula landskap kota dari sekadar membina mercu dan gendung, kepada membina bangsa dengan nilai dan budaya.
Saya tegaskan inisiatif ini bukan projek kosmetik.
Ia adalah falsafah pembangunan negara, bahawa sesebuah kota hanya akan kekal relevan apabila ia mengenal sejarahnya, membenih serta menyemai budayanya, dan memberi makna kepada setiap warga dan jiwa yang menghuni. – JM
