

Oleh: Sholina Osman
14 APRIL 2025
Kerajaan Perlis mengumumkan 17 April 2025 (Khamis) sebagai cuti peristiwa sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, ketika berucap pada Majlis Aidilfitri Menteri Besar Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis 2025, di Dewan 2020 Kangar.
Beliau berkata, pengisytiharan cuti peristiwa itu juga adalah selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
MENDAPAT LIMPAH PERKENAN
Ia juga telah mendapat limpah perkenan daripada Tuanku Syed Sirajuddin.
Terdahulu, Mohd Shukri mengiringi Tuanku Raja Perlis yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Turut berangkat ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda-anakanda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Selain itu, kira-kira 30,000 orang turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memerintah Perlis sejak 2000 dan tahun ini menandakan tahun ke-25 pemerintahan Baginda. – JM
