







Oleh: Sholina Osman
Foto : Ihsan MAIPs
8 APRIL 2025
Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis (2000 – 2025) pada 17 April 2025 ini, rakyat Perlis diseru agar terus menzahirkan taat setia yang tulus kepada Baginda, sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan warisan negeri yang amat dihargai.
Taat setia kepada Raja Pemerintah yang dipupuk sedari kecil, bukan sekadar simbolik, malah perlu diterjemahkan melalui semangat kebersamaan rakyat dalam menjaga keharmonian, mengangkat nilai kebajikan dan memartabatkan institusi Raja sebagai payung kestabilan negeri.
Demikian menurut kenyataan media MAIPs titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan 8 Tahun 2025 di Masjid Al-Islah Ngulang baru-baru ini.
Berkenan berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menyambut keberangkatan Baginda berdua ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
DENGAN SESI INTERAKSI
Program dimulakan dengan sesi interaksi bersama Guru-guru Muraqib Amil yang dilantik MAIPs di 104 buah sekolah di seluruh Negeri Perlis.
Dalam titah Baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra meminta agar semua guru memainkan peranan sebagai agen perubahan masyarakat masa depan.
Harapan Raja Muda agar semua inisiatif ke arah ‘Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan’ hendaklah disambut oleh semua pihak, terutamanya seluruh rakyat jelata di Negeri ini.
Setiap perubahan memerlukan kehendak tinggi masyarakat agar matlamat yang ingin dituju menjadi kenyataan.
Pada majlis tersebut, MAIPs turut melancarkan Program Mat’am Fidyah (Food Bank), berjumlah RM70,000 untuk disalurkan di masjid-masjid dan lokasi NGO terpilih, bagi menyantuni golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan. – JM
