Masjid MADANI akhirnya akan dibina hasil pendekatan berhikmah – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
27 MAC 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pembinaan masjid MADANI akhirnya dapat diteruskan setelah sekian lama tertangguh hasil pendekatan hikmah yang berpaksikan maqasid syariah dan fiqh al-awlawiyat.

Beliau berkata dalam menilai isu ini melalui lensa fiqh al-awlawiyat, jelas bahawa keutamaan diberikan kepada maslahat umat Islam untuk memiliki masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti, menjaga keharmonian masyarakat majmuk dan memastikan imej Islam itu terus terpelihara sebagai agama rahmah dan keadilan.

Jelas Dr Zaliha apa juga keputusan yang diambil, semuanya telah melalui proses rundingan dan penelitian yang tepat.

AKHIRNYA PANDANGAN AGAMA

“Nasihat keselamatan telah diterima, nasihat perundangan telah dipertimbang dan akhirnya pandangan agama menjadi neraca,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani oleh pihak Jakel Group yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dr Zaliha berkata, jika isu ini boleh diselesaikan melalui kaedah perundangan, tidakkah sepatutnya ia diselesaikan sejak dulu lagi.

SEHINGGA BERBELAS TAHUN

“Tidak perlu mengambil masa sehingga berbelas tahun untuk dileraikan,” katanya.

Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, katanya, dalam kemelut ini beliau tetap konsisten bahawa perlu ada sesi rundingan dan sifat tolak ansur.

“Namun, prinsipnya tetap tegas, iaitu Masjid ini wajib didirikan di kawasan ini, demi menghormati wasiat wakaf, hak ibadah umat Islam dan tuntutan maqasid dalam memelihara agama,” kata Dr Zaliha.

“Ini lambang ketegasan yang lunak,” katanya.

“Inilah wajah Malaysia MADANI. Tegas dalam prinsip, berhemah dalam pelaksanaan. Menjulang syariat tanpa menyingkirkan hikmah,” tambahnya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *