WAN AZIZAH , FAHMI FADZIL SANTUNI PENIAGA, PENGUNJUNG PASAR MALAM AYER MOLEK

12 November 2026

(Sorotan khas PRN Melaka ke 16)

AYER MOLEK – Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Malam Ayer Molek sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Kunjungan itu turut disertai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.18 Ayer Molek, Muhammad Hakimin Mokhtar yang mengambil kesempatan memperkenalkan diri serta mendekati masyarakat setempat.

BERAMAH MESRA DENGAN PENIAGA

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung, selain bertemu jentera parti yang berada di kawasan pasar malam berkenaan.

Kehadiran Wan Azizah dan Fahmi turut menarik perhatian orang ramai yang mengambil peluang untuk bersalaman, bertanya khabar serta bergambar bersama mereka.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata, semua anggota Jemaah Menteri dan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara dan bukannya membantutkan usaha kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi tinjauan mesra di Pasar Malam Ayer Molek itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut memaklumkan bahawa pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap kandungan media sosial sepanjang kempen PRN Melaka mendapati keadaan masih terkawal, tanpa aduan pelanggaran undang-undang diterima setakat itu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap kandungan yang mungkin dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), selain menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.

Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada gerak kerja kempen PH bagi mendekati pengundi secara bersemuka, khususnya menjelang hari pengundian pada 14 November 2026.

Kerusi DUN Ayer Molek menyaksikan pertandingan antara Hakimin Mokhtar daripada PH dengan calon parti lain, termasuk penyandang kerusi, dalam persaingan tiga penjuru pada PRN kali ini.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *