SUARA MERENTASI DUNIA
Sun. Nov 15th, 2026

ANWAR, WAN AZIZAH HADIRI PERASMIAN SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-49 DI MANILA

MANILA, 15 NOVEMBER 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), Manila, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr., selaku Pengerusi ASEAN 2026, yang menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN serta wakil negara rakan dialog.

Anwar menerusi perkongsian di media sosial berkata, Malaysia sebagai antara negara pengasas ASEAN kekal komited memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju rantau ini, selain memperkukuh kesepakatan dan memelihara keamanan serta kestabilan serantau.

Beliau menegaskan Malaysia akan terus berdiri teguh sebagai rakan serantau yang komited dalam membina ASEAN yang bersatu dan berdaya tahan, selain memastikan suara serta kepentingan rantau ini terus dihormati di peringkat antarabangsa.

ASEAN HADAPI CABARAN SERANTAU DAN GLOBAL

Sidang kemuncak tiga hari dari 15 hingga 17 November itu berlangsung ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, keselamatan maritim dan ancaman rentas sempadan.

Presiden Marcos dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan perpaduan dan tindakan bersama ASEAN bagi menangani cabaran yang semakin kompleks, dengan menggariskan tiga keutamaan Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran serta pemerkasaan rakyat.

Antara perkara utama yang dijangka diberi perhatian pemimpin ASEAN termasuk perkembangan krisis Myanmar, keselamatan Laut China Selatan, rundingan Kod Tatalaku (COC), keselamatan tenaga serta pengukuhan rantaian bekalan serantau.

MALAYSIA MAHU PERKUKUH KESEPAKATAN SERANTAU

Penyertaan Malaysia pada peringkat tertinggi itu mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama ASEAN, termasuk melalui dialog dengan negara anggota dan rakan luar.

Anwar turut dijadual menyertai sesi pleno dan permukiman pemimpin ASEAN serta pertemuan bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan golongan belia ASEAN.

Sidang kemuncak kali ini membawa tema β€œNavigating Our Future, Together”, dengan matlamat memperkukuh kerjasama dan daya tahan rantau dalam menghadapi perubahan landskap antarabangsa.

kapsyen foto:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), Manila, 15 November 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *