SUARA MERENTASI DUNIA
Sun. Nov 15th, 2026

PMX TIBA DI MANILA, HADIRI SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-49

MANILA, 14 NOVEMBER 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 November.

Kehadiran Anwar adalah bagi mengetuai delegasi Malaysia ke pertemuan pemimpin serantau itu, yang menjadi platform penting untuk membincangkan kerjasama ASEAN dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony sebelum ini memaklumkan bahawa Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

JADUAL PADAT PERTEMUAN PEMIMPIN ASEAN

Pada 15 November, Anwar dijadual menghadiri sesi pleno dan permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, selain sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan wakil belia.

Pada 16 November, beliau dijadual menyertai sidang kemuncak ASEAN bersama China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Australia dan Korea Selatan sebelum pulang ke Malaysia bagi menerima lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada 17 November.

Perdana Menteri kemudian dijadual kembali ke Manila pada petang 17 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat serta majlis makan malam yang dihoskan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr.

Dalam ketiadaan Anwar pada 17 November, Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat lain, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

PERKUKUH PERANAN MALAYSIA DALAM ASEAN

Sidang kemuncak kali ini dianjurkan Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 dengan tema β€œNavigating Our Future, Together”. Pertemuan itu menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan dialog bagi membincangkan cabaran serantau serta hala tuju kerjasama masa depan.

Antara isu serantau yang dijangka mendapat perhatian termasuk perkembangan di Myanmar, keselamatan Laut China Selatan, kestabilan serantau dan kerjasama ekonomi. AP News

Penyertaan Malaysia pada peringkat tertinggi itu mencerminkan komitmen negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama serantau serta memastikan kepentingan nasional diberi perhatian dalam perbincangan ASEAN.

kapsyen foto:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *