𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗔𝗧𝗞𝗨𝗔𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗧𝗘𝗥𝗨𝗦𝗔𝗡 : 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗛𝗔𝗡𝗧𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡𝗚 𝟭𝟯𝟳 𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗪𝗔𝗥𝗚𝗔𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗖𝗛𝗜𝗡𝗔 𝗞𝗘 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗔𝗦𝗔𝗟 𝗕𝗔𝗚𝗜 𝗙𝗔𝗦𝗔 𝗞𝗘𝗗𝗨𝗔 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗟𝗔𝗣𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗥𝗕𝗔𝗡𝗚 𝗔𝗡𝗧𝗔𝗥𝗔𝗕𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔 𝗣𝗨𝗟𝗔𝗨 𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡𝗚

𝗦𝗜𝗞, 𝟭𝟯 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Seramai 137 orang tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara China telah dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas bagi pelaksanaan pemindahan fasa kedua.

Kesemua tahanan terdiri daripada lelaki dewasa yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah. Proses penghantaran pulang ini dilaksanakan secara berperingkat menerusi enam jadual penerbangan bermula pada 13 November 2026 sehingga awal pagi 14 November 2026.

Pelaksanaan pemindahan ini merupakan kesinambungan daripada penghantaran pulang fasa pertama yang melibatkan seramai 149 orang tahanan warganegara China pada 11 November 2026 melalui lapangan terbang yang sama.

Pelaksanaan pemindahan ini turut melibatkan penyertaan wakil Konsulat Jeneral Republik Rakyat China, Pulau Pinang bagi membantu urusan berkaitan pemindahan tahanan warganegara China ke negara asal.

Kesemua tahanan yang terlibat telah selesai menjalani hukuman dan melalui proses tindakan pengusiran selaras dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sebagai langkah kawalan, kesemua PATI yang dipindahkan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang kemasukan semula ke Malaysia.

Program pemindahan ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah dalam menguruskan penghantaran pulang warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Jom ikuti Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah untuk mendapatkan informasi dan perkembangan terkini:

https://linktr.ee/jimkedah

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) di:

http://eapp.imi.my/spo

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *