LAPORAN KHAS ONSA : AKAUN PALSU, IDENTITI DISAMAR: KENALI PERANGKAP DI MEDIA SOSIAL

MUKADIMAH

Media sosial kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat, sama ada untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, menjalankan perniagaan atau berhubung dengan keluarga dan rakan.

Namun, kemudahan mencipta akaun dan berkongsi kandungan turut membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai individu, organisasi atau institusi sah bagi memperdaya pengguna.

Akaun palsu kini semakin sukar dikenal pasti apabila penipu menggunakan gambar sebenar, nama tokoh terkenal, logo rasmi dan kandungan yang kelihatan meyakinkan.

Malah, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut berpotensi disalahgunakan untuk menghasilkan identiti serta kandungan palsu.

Jumlah pengikut yang ramai atau penampilan profil yang profesional bukan jaminan sesuatu akaun itu sah.

JENDELA MADANI menerusi Laporan Khas ONSA kali ini menyingkap taktik penyamaran identiti, langkah mengenal pasti akaun mencurigakan serta peranan pengguna, platform digital dan pihak berkuasa dalam membendung ancaman tersebut.

KUPASAN 1

WAJAH SAMA, IDENTITI PALSU: JANGAN MUDAH PERCAYA AKAUN MEDIA SOSIAL

Akaun palsu semakin menjadi alat sindiket untuk memperdaya pengguna melalui penyamaran identiti, tawaran pelaburan, penjualan barangan dan pelbagai bentuk penipuan dalam talian.

Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM pada September 2025, sebanyak 18,128 kes penipuan e-dagang melibatkan Facebook, Instagram dan WhatsApp direkodkan bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2025, dengan kerugian melebihi RM248 juta.

Sindiket boleh menggunakan nama dan gambar individu sebenar, meniru logo organisasi atau mencipta profil yang hampir menyerupai akaun rasmi untuk mendapatkan kepercayaan mangsa.

10 TANDA AKAUN MENCURIGAKAN

1.Nama pengguna hampir sama dengan akaun rasmi tetapi mempunyai perubahan ejaan atau angka tambahan.

2.Sejarah hantaran terhad walaupun gambar profil kelihatan meyakinkan.

3.Akaun baharu yang mendakwa mewakili tokoh terkenal atau organisasi besar.

4.Interaksi tidak sepadan, seperti jumlah pengikut tinggi tetapi komen kelihatan dijana secara automatik.

5.Penggunaan bahasa janggal atau mesej yang kelihatan seperti terjemahan mesin.

6.Permintaan wang atau maklumat sulit melalui mesej peribadi.

7.Desakan bertindak segera dengan ancaman akaun disekat atau tawaran ditamatkan.

8.Pautan mencurigakan yang menyerupai laman web rasmi.

9.Mesej tanpa diminta yang meminta wang, gambar peribadi atau maklumat sensitif.

10.Penggunaan logo rasmi tanpa pengesahan melalui saluran organisasi sebenar.

Pengguna juga boleh menggunakan carian imej terbalik (reverse image search) untuk menyemak sama ada gambar profil pernah digunakan di laman atau akaun lain.

Bagaimanapun, tiada satu petunjuk yang boleh menentukan kesahihan akaun secara mutlak. Identiti perlu disahkan melalui saluran rasmi yang diperoleh secara bebas.

Ingat, gambar boleh dicuri, nama boleh ditiru dan pengikut boleh dimanipulasi.

Semak identiti sebelum memberikan kepercayaan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *