
PUTRAJAYA, 27 Oktober – Kualiti udara negara menunjukkan perkembangan positif apabila 23 kawasan mencatatkan status baik, manakala 44 kawasan berada pada tahap sederhana setakat pukul 9 pagi tadi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, hanya Samalaju, Sarawak, merekodkan bacaan tidak sihat, dipercayai sebahagian besarnya berpunca daripada jerebu rentas sempadan.
Menurut beliau, sebanyak 166 titik panas dikesan di Kalimantan pada 26 Oktober, manakala tiada titik panas direkodkan di Malaysia dan Sumatera. Tiupan angin membawa asap dari Kalimantan Timur ke arah barat laut Borneo, sekali gus menjejaskan kualiti udara di Sarawak.
Kualiti udara di kebanyakan kawasan dijangka kekal baik hingga sederhana dari 27 hingga 31 Oktober ini. Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar akan mempertingkatkan rondaan di kawasan berisiko bagi membendung pembakaran terbuka.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan terjejas, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan memakai pelitup muka jika perlu berada di luar.
Status terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh disemak menerusi portal APIMS Jabatan Alam Sekitar atau aplikasi MyIPU.
