
JAKARTA, 17 Ogos – Seramai 16 pendaki terpaksa dipindahkan dari Gunung Bawakaraeng di Sulawesi Selatan selepas mengalami hipotermia, kecederaan dan keletihan teruk ketika melakukan pendakian sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Makassar, Muhammad Arif Anwar berkata, operasi pemindahan dijalankan secara berperingkat sehingga Isnin malam.
Menurut beliau, kebanyakan pendaki yang terjejas mengalami hipotermia akibat cuaca sejuk ekstrem, selain kecederaan kaki dan keletihan fizikal yang teruk.
Daripada 16 pendaki terbabit, lapan telah dipindahkan setakat pagi Isnin dan berada dalam keadaan baik selepas dibawa ke pos pendaftaran Bulu Balea.
Arif berkata, pasukan SAR turut memantau pergerakan pendaki di sepanjang empat laluan yang menghubungkan kawasan menuju ke dan dari puncak Gunung Bawakaraeng.
Gunung setinggi 2,830 meter di Kabupaten Gowa itu merekodkan seramai 3,786 pendaki yang mendaftar untuk menyertai upacara menaikkan bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia.
Bagi memastikan keselamatan pendaki, seramai 295 anggota membabitkan Basarnas, komuniti SAR, sukarelawan dan pasukan perubatan dikerahkan dalam operasi siap siaga dari 15 hingga 18 Ogos.
Pasukan berkenaan ditugaskan memantau pergerakan pendaki serta memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.
Dalam operasi sama sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia tahun lalu, seramai 65 pendaki telah dipindahkan, kebanyakannya akibat hipotermia, manakala seorang pendaki meninggal dunia akibat hipotermia teruk.
Susulan kejadian itu, Arif menggesa pendaki supaya mengutamakan aspek keselamatan dengan memantau keadaan fizikal dan tidak memaksa diri meneruskan pendakian sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
Beliau turut mengingatkan pendaki supaya membawa kelengkapan yang mencukupi bagi melindungi diri daripada keadaan cuaca sejuk sepanjang pendakian.
