

9 Ogos 2026
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ‘Flying Pasport’ menerusi penahanan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah pada 6 Ogos 2026.
Operasi bermula jam 10.00 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Negeri Johor.
Kejayaan ini adalah hasil tindakan susulan JIM yang digerakkan berdasarkan perkembangan siasatan Op Crack yang dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan menahan tiga individu berumur di antara 33 hingga 41 tahun.
Pasukan operasi turut menyita telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen dan wang tunai berjumlah RM20,000.00.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan kehadiran fizikal pemilik dokumen tersebut di pintu masuk negara.
Salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM.
Ejen mengenakan bayaran sebanyak RM700.00 bagi setiap pasport warga asing yang mengunakan perkhidmatan sindiket ini.
Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
Jabatan akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenalpasti rangkaian sindiket dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.
